Sunday, April 25, 2010

Polis tahan 26 penyokong parti, terima 167 laporan

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar (bawah, kiri) berkata sehingga hari ini pihaknya telah menahan 26 orang atas pelbagai kesalahan termasuk memiliki senjata berbahaya sepanjang kempen pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen Hulu Selangor berlangsung.

Beliau berkata, semua mereka adalah penyokong daripada kedua-dua parti yang bertanding pada pilihan raya kecil itu.

"Ini membuktikan kami tidak berpihak kepada mana-mana parti politik seperti yang didakwa," katanya kepada pemberita di Kuala Kubu Baharu.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu juga polis telah menerima 167 laporan dan 30 daripadanya telah disiasat.

"Laporan polis yang dibuat adalah di bawah kes khianat, merosakkan kenderaan dan juga kesalahan di bawah peraturan pilihan raya dan juga kesalahan mempunyai senjata berbahaya dan bahan letupan," katanya.

Selain itu, Khalid berkata kawasan Kuala Kubu Baharu juga dijadikan zon larangan kenderaan berat bermula jam 12 tengah malam ini sehingga 12 tengah malam esok.

"Kenderaan berat tidak dibenarkan masuk ke bandar Kuala Kubu Baharu melainkan kenderaan yang ada sebab seperti bas dan sebagainya.

"Laluan ke bandar Kuala Kubu Bharu ini kemungkinan besar kita akan jadikan jalan sehala berperingkat-peringkat dan ini kita akan tengok keperluannya esok," katanya.

Beliau turut menasihatkan mereka yang tidak berkepentingan agar tidak memenuhi kawasan pembuangan undi bagi memastikan kelancaran perjalanan proses itu.

http://www.malaysiakini.com/news/130146
Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Polis tahan 26 penyokong parti, terima 167 laporan"

Post a Comment