Thursday, April 22, 2010

Anwar: Allah takdirkan 'Projek 16 Sept' tak jadi

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi menunjukkan dua pucuk surat sebagai bukti bahawa beliau mempunyai cukup jumlah ahli parlimen untuk mengambil alih kuasa daripada kerajaan BN melalui 'Projek 16 September'.
Anwar berkata surat pertama bertarikh 18 September 2008 yang menuntut agar Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi memanggil sidang tergempar kerana ahli Dewan Rakyat sudah hilang keyakinan kepadanya.

"Jika tak ada jumlahnya, adakah boleh diadakan sidang parlimen tergempar?" katanya Anwar ketika berceramah di hadapan kira-kira 400 orang di Padang Perumahan Taman Teratai, yang dikatakan kubu kuat Umno.

Manakala surat bertarikh pada hari berikutnya, kata Anwar, memohon perkenan mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan kerana mempunyai cukup majoriti ahli Dewan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan yang baru.

"Bagaima
napun Allah mentakdirkan perkara itu tidak menjadi," katanya sambil merayu agar pengundi memberi sokongan kepada calon PKR Datuk Zaid Ibrahim dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor 25 April ini.

Anwar yang juga penasihat ekonomi kerajaan Selangor menyentuh pendedahannya bahawa kerajaan Malaysia membuat perjanjian dengan sebuah firma perunding yang mempunyai kaitan dengan Yahudi.

Ia susulan keputusan Dewan Rakyat petang semalam meluluskan usul merujuk Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen ekoran pendedahan beliau itu.

Anwar menjela
skan kepada pengundi dengan menunjukkan salinan surat perjanjian kerajaan Malaysia dan firma Apco itu.

"Surat (perjanjian) Apco dan kerajaan Israel sama dengan surat (perjanjian) antara Apco dengan Malaysia. Jawablah, buat apa hina saya... Jawablah, buat apa hukum saya," katanya.

Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri berkata, beliau telah memuatkan salinan perjanjian tersebut di dalam blog rasminya.

Dalam perkembangan berkaitan, ketua umum PKR itu juga menjawab tohmahan yang mendakwanya menjadi "boneka kepada Yahudi".

Beliau turut menunjukkan satu risalah mendakwa bahawa beliau mempunyai "lingkaran dengan Yahudi".

Anwar menyifatkan tindakan tersebut dilakukan oleh "orang munafik dan pembohong"

"Haram saya berdamping dengan mereka. Saya tidak buat kerja itu semua," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh hadirin.

sumber dari malaysiakini.com/bm
read more...

Tuduhan rasuah: Bekas Adun PKR dibebaskan

Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini membebaskan dua bekas ahli dewan undangan negeri PKR berhubung dakwaan rasuah tanpa dipanggil bagi membela diri.

Hakim Azhaniz Azman berkata pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie dan mengarahkan mereka dibebaskan serta mereta.

Mohd Osman Mohd Jailu, 58 (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd Radzi, 53 (Behrang) didakwa bersama tiga yang lain - bekas adun PKR Usaili Alias, 56, bekas ahli majlis daerah Perak Tengah Zul Hassan, 46, dan kontraktor, Fairul Azrim Ismail, 31.Mereka didakwa melakukan kesalahan rasuah itu di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan di restoran Kluang Station Cafe di Medan Istana, Ipoh dan di Aquarias Restaurant & Bar di Bukit Mertajam antara 14 hingga 19 Ogos 2008.

Zul juga didakwa menerima rasuah seorang perempuan bagi tujuan mengadakan hubungan seks pada 8.10 malam 14 Ogos lepas di Sri Sayang Apartment, Pulau Pinang.

Ahli perniagaan Fairul Azrim Ismail, 30, yang dituduh menerima habuan rasuah seks di Sri Sayang Apartment pada 14 Ogos lalu untuk membantu seorang bernama Mohamad Imran Abdullah memperoleh projek pembangunan bersama di Bandar Baru Seri Iskandar melibatkan Majlis Daerah Perak Tengah dibicarakan secara bersama dengan lima tertuduh berkenaan.

sumber dari malaysiakini.com/bm
read more...

Kamalanathan pengundi hantu?



Exco kerajaan Selangor, Xavier Jayakumar pada ucapannya di sebuah ceramah malam semalam mendakwa P Kamalanathan sebagai pengundi hantu di parlimen Sungai Siput.
Sungai Siput merupakan kubu kuat MIC yang dipegang oleh presiden parti itu, Datuk Seri S Samy Vellu sejak sekian lama sebelum ditumbangkan oleh Jeyakumar Devaraj dari PSM pada pilihan raya umum 2008.

Ahli dewan undangan negeri Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin dari PKR juga membuat dakwaan yang sama dalam twitter dengan mengemukakan nombor MyKad Kamalanathan (kiri).

Mesej twitter itu berbunyi: “Mengemparkan! Dr Xavier baru mendedahkan bahawa Kamalanathan adalah Pengundi Hantu di P62 Sungai Siput. Semak sendiri 651018-10-XXXX".

Malaysiakini menjalankan semakan melalui laman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan nombor yang dibekalkan dan mendapati Mykad itu milik seseorang yang bernama P Kamalanathan, yang merupakan pengundi di parlimen Sungai Siput dan juga dewan undangan negeri, Jelong.

Menurut data SPR alamat Kamalanathan adalah di Heawood Garden, dan dia mengundi di Simpang Tiga.
Xavier (kanan) kemudiannya memberitahu Malaysiakini bahawa Kamalanathan tinggal di Rawang,dan alamat di MyKadnya tertera alamat di Rawang itu.

Beliau sekarang adalah calon BN bagi pilihan raya kecil Hulu Selangor.

"Saya fikir jika seseorang ingin menjadi ahli parlimen beliau harus berprinsip dan bertanggung jawab berhubung apa yang dilakukannya sebelum ini.

“Ini menujukkan bahawa beliau seorang yang tidak boleh dipercayai dan sanggup membelakangkan undang-undang.”

Malaysiakini menghubungi P Kamalanathan untuk penjelasannya tetapi beliau berkata akan menjelaskan perkara itu pada masa yang sesuai.

"Saya sedang fokus pada pilihan raya Hulu Selangor, saya mahu berjumpa pengundi dan bermesra dengan mereka. Saya tidak akan komen sekarang.

"Saya akan komen pada masa yang sesuai. Saya terpaksa menghadiri mesyuarat sekarang. Selamat tinggal.”

sumber dari malaysiakini.com/bm
read more...

Kit Siang: Zaid di belakang, perlu 85% undi Cina

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang hari ini berkata kaji selidik dalaman menunjukkan bahawa calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim masih ketinggalan di belakang Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Katanya, P Kamalanathan masih mendahului kerana sokongan pengundi Melayu dan India.

Justeru, Zahid memerlukan sekurang-kurangnya 85 peratus undi masyarakat Cina jika ingin memenangi kerusi berkenaan.

sumber dari malaysiakini.com/bm
read more...

Liwat II: Anwar kemuka rayuan qazaf

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur yang menolak permohonan qazafnya.

Beliau yang diiringi oleh peguam Ainiah Kamaruddin, tiba di mahkamah pada jam 10.05 pagi untuk menadatangani beberapa dokumen.
Pada 14 April lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur membenarkan bantahan awal Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom untuk membatal permohonan Anwar Ibrahim supaya Mohd Saiful Bukhari Azlan didakwa mengikut qazaf.

Dengan perintah itu, Anwar tidak boleh meneruskan permohonannya untuk mengarahkan ketua pendakwa syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain mendakwa Mohd Saiful dengan tuduhan qazaf kerana mendakwa diliwat oleh ketua umum PKR.

Anwar telah memfailkan permohonan qazaf itu pada 7 Januari lalu.

Selain Shamsuddin, Anwar turut menamakan dua lagi reponden - pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali dan Jamil Khir.

Jamil dan dua responden tersebut telah memfailkan bantahan terhadap permohonan qazaf itu pada 9 Februari lalu.

Mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, qazaf ialah tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat orang saksi lelaki. Seksyen ini adalah bagi mengelak seseorang menuduh orang lain berzina.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.


sumber dari malaysiakini.com/bm
read more...

Nik Aziz gempur Hulu S'gor mulai esok

Setelah didakwa 'agak lemah' di permulaan kempen, PAS kini kelihatan mula menggempur habis-habisan BN di Hulu Selangor dengan menurunkan tokoh besar mereka Datuk Nik Aziz Nik Mat bagi berkempen untuk kemenangan calon PKR Datuk Zaid Ibrahim.

Nik Aziz - mursyidul am parti Islam itu - yang baru pulang daripada mengerjakan umrah di Tanah Suci dijadual berada dua hari di kawasan parlimen Hulu Selangor mulai petang esok.

Esok, beliau akan memberikan kuliah Maghrib di Masjid Kuala Kubu Bharu dan pada malamnya berceramah di Changkat Asa, Hulu Bernam.

Manakala pada hari Sabtu - sehari sebelum pengundian - menteri besar Kelantan itu akan memberikan kuliah Subuh di Masjid As-Salam Bukit Sentosa dan pada malamnya sekali lagi berceramah di Stadium Mini Kuala Kubu Bharu.

Kehadiran tokoh popular itu dijangka memberikan kesan yang besar kepada perubahan mood pengundi di Hulu Selangor di hari-hari terakhir sebelum pengundian dijalankan pada Ahad.

Kehadiran ualama PAS itu juga bakal menyaksikan pertembungan antara 'jeneral besar' Pakatan Rakyat dan BN apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga dijadual menghabiskan kempennya di Hulu Selangor esok.

Kedatangan Nik Aziz dilihat sebahagian daripada serangan balas PAS bagi pihak Pakatan setelah bertahan, khususnya dalam menangani isu 'moral' Zaid yang dimainkan BN dengan berkesan.

Sejak awal lagi, 'faktor Nik Aziz' dipandang serius oleh kedua-dua pihak bertanding.

Walaupun tanpa kehadiran susuk tubuhnya sebelum ini, papan tanda besar memaparkan ulama PAS itu sedang berdoa bagi kemenangan Zaid dinaikkan di serata tempat.

Manakala BN pula mengambil pendekatan hampir sama melalui papan tanda gergasi memaparkan 'keprihatinan' Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menziarahi Nik Aziz yang terlantar sakit di hospital sebelum ini.

PAS - parti yang paling berpengalaman dalam Pakatan - sejak kelmarin berikrar membantu PKR sepenuh tenaga dengan meningkatkan jentera dan kepakarannya daripada 20 kepada 60 peratus setelah didakwa 'agak lemah'.

Menyambut janji tersebut, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan sendiri semalam turun berkampung bagi memantau sendiri program Dewannya - jentera utama parti itu - sehinggalah selesai pilihan raya Ahad ini.







sumber dari malaysiakini.com/bm
read more...

Pak Samad, Dinsman berkempen di pentas puisi

Kata-kata puitis tapi penuh sindiran tajam terhadap pemerintah dalam puisi mereka memecah kesunyian malam yang cuma hanya kedengaran bunyi cengkerik di Kampung Pasir Putih Kalumpang, yang terletak dalam DUN Hulu Bernam.
Kehadiran sekumpulan budayawan dan seniman menunjukkan sikap politik yang "menuntut keadilan" kepada rakyat dengan mendeklasmasi puisi dan sambil diselang seli dengan nyanyian santai menjelang kehangatan dan kerancakan kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Beberapa tokoh hadir - yang ternyata menghiburkan pengundi berdasarkan riak wajah mereka - antaranya Sasterawan Negara A Samad Said; budayawan Dinsman dan penyajak Mohd Salleh Abu Bakar.

Walaupun hanya dihadiri sekitar 50 orang, termasuk beberapa anak muda yang bermotosikal, namun mereka mendengar dengan tekun bait-bait puisi dan pantun yang dideklamasikan oleh tokoh tersebut di sebuah balai orang ramai di kampung tersebut.

A Samad Said yang lebih mesra dipanggil Pak Samad membaca dua buah puisi yang dikompilasi dalam buku 'Suara Dari Dinding Dewan' dalam majlis tersebut .

Dua buah sajak beliau tersebut adalah 'Jeritan Senja September' yang ditulis pada 21-29 September 1998 yang cuba merakam kebangkitan rakyat khususnya anak muda dalam peristiwa reformasi selepas pemecatan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tahun 1998 adalah tahun yang didapati bahawasanya anak-anak muda merasakan ada sesuatu yang perlu dibetulkan.

"Mereka adalah satu kelompok anak-anak muda yang berani menyatakan ada sesuatu yang salah dalam masyarakat kita. Ini mesti dibetulkan.

"Oleh kerana itu, mereka bersedia menyertai satu gerakan yang akhirnya membibitkan satu tenaga yang sangat bermakna. Gerakan itu bermula pada bulan September," katanya sebelum memulakan bait-bait puisinya.

Susulan sajak pertama, Pak Samad yang juga pengarang novel Salina, mendeklamasikan puisi keduanya yang bertajuk 'Dialog di antara Jamban Setinggan 2' yang dikarangnya pada 22 Februari 2001.

Bercakap kepada Malaysiakini selepas mendeklamasikan sajak tersebut, sajak tersebut mengisahkan perbualan dua watak, Brother Mar dan Brother Hain sewaktu mereka membuang air.

"Mereka tidak senang dengan kepincangan politik di tanah air mereka. Ketika dalam jamban mereka membincangkan ada usaha untuk mengatasi kepincangan itu.

"Kedua-dua watak itu, jika digabungkan menjadi 'marhain'. Saya membaca sajak-sajak ini kalau ada jemputan yang berbaur kuasa," katanya sambil tersenyum.

Manakala Dinsman pula membaca dua buah puisi iaitu 'Ada Orang Tidak Kenal' dan "Undilah". Sajak kedua ini menuntut pengundi memilih pemimpin yang boleh membawa "keadilan" tanpa merujuk kepada mana-mana parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil ini.

Antara bait sajak yang berbunyi: Undilah keadilan, Jangan undi kezaliman; Undilah keikhlasan, Jangan undi penyelewengan; Undilah manusia, Jangan undi setan; Undilah yang amanah, Jangan undi yang rasuah.

Kemudiannya hadirin yang hadir menepuk tangan dan bersorak setelah mendengar bait sajak tersebut.

Sementara seorang lagi penyajak Mohd Salleh turut menyampaikan pantun dan puisi dari buku "Koleksi Puisi PRK P094 Hulu Selangor" yang terang-terangan menyokong calon PKR Datuk Zaid Ibrahim.

Tajuk pantun tersebut adalah 'Pantun Kenang Zaman Chedet' dan puisi yang bertajuk 'Mengenali Calon' yang ditujukan khas kepada pengundi mengenai latar belakang Zaid Ibrahim.

Bacaaan puisi dan pantun malam tadi juga turut diselang seli dengan nyanyian daripada dua vokalis kumpulan terkenal pada tahun 90-an iaitu Ito dari kumpulan 'The Blues Gang' dan Blank dari kumpulan Gamma.

Eto menyanyikan lagu 'evergreen' yang menjadi siulan anak muda suatu ketika dahulu sehingga hari ini antaranya 'Perempuan' dan 'Apa nak di kata' yang didendangkan secara berduet dengan Blank dalam loghat Negeri Sembilan.

Manakala Blank menyanyikan lagu 'Bahang Asmara' dan 'Kembang Terhalang' yang suatu ketika dahulu cukup popular diputarkan di corong radio dan televisyen.

Dalam majlis yang sama, turut dijual buku 'Kumpulan Esei Budayawan Bertindak Menyokong Perjuangan A Samad Said'.

Buku yang diterbitkan oleh Seniman Paksi Rakyat telah disusunkan oleh tiga tokoh budayawan yang diketuai oleh Dinsman, memuatkan 29 esei yang merupakan lanjutan sokongan terhadap Pak Samad membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Pak Samad merupakan tunggak utama Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) dengan mengetuai demonstrasi anti-PPSMI di ibu negara 7 Mac 2009.

"Bermula dengan peristiwa itu, (A) Samad Said seperti memulakan satu perjuangan baru. Hari demi hari dia memperlihatkan komitmen yang semakin menyerlahkan kecintaanya kepada bahasa Melayu dan budaya besar kita," kata Dinsman yang dipetik dalam pengantar buku itu.

Bercakap kepada Malaysiakini, Setiausaha GMP Hasni Abas - yang juga merupakan penyusun buku ini - berkata 1,000 naskah, yang merangkumi 700 naskah bagi kulit nipis dan 300 lagi berkulit keras telah dicetak.

Masing-masing berharga RM40 dan RM30 senaskah, tambah Hasni yang juga merupakan antara tujuh penggerak utama demonstrasi besar-besaran tahun lalu.

"Setakat ini, sebanyak 200 naskah telah terjual," katanya sambil menambah buku ini diterbitkan bersempena dengan ulangtahun pertama bantahan PPSMI yang dibuat bulan lalu.

sumber dari malaysiakini.com/bm
read more...

PAS: Mengapa baru mahu dipindahkan?

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menempelak SuruhanJaya Pilihanraya (SPR) berhubung dakwaan tindakan memindahkan pusat pengundian lebih 13,000 pengundi di Hulu Selangor.

''Ini berikutan dakwaan pengarah PKR, Fuziah Salleh yang juga ahli parlimen Kuantan bahawa satu perlima atau 13,488 pengundi telah dipindahkan ke pusat pengundian lain,'' kata ketuanya, Nasrudin Hassan.

''Begitu juga dengan bilangan Daerah Mengundi yang dikatakan meningkat daripada 45 pada pilihanraya umum lalu kepada 47 Daerah Mengundi,'' tegasnya dalam satu kenyataan.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dalam kenyataannya berkata pemindahan itu dibuat secara sah berdasarkan peruntukan Seksyen 7 Akta Pilihan Raya 1958 bagi membuat pembetulan lokaliti, dengan mengambil kira aspek ketenteraman awam, lokasi mengundi yang tidak sesuai dan mendapat tempat baru yang lebih sesuai.

''Persoalannya, mengapa sekarang baru hendak dibuat pemindahan ketika tinggal hanya beberapa hari lagi untuk pengundi parlimen Hulu Selangor keluar mengundi?

''Jawapan timbalan pengerusi SPR bahawa pemindahan ini adalah secara kebetulan sahaja, amat tidak 'releven' sama sekali memandangkan pilihan raya umum Ke-12 telah dua tahun berlalu,'' katanya.

Menurut Nasrudin, kenyataan SPR berhubung 'kesilapan sempadan' dengan memindahkan kira-kira 228 pengundi di Hulu Selangor ke Parlimen Selayang, adalah tidak dapat diterima.

''Tindak-tanduk mencurigakan ini membuatkan SPR seolah-olah berpihak kepada BN sedangkan SPR sepatutnya menjadi sebuah badan bebas dari dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

'Dengan ini DPPP membantah tindakan ini dan mendesak agar SPR bersikap lebih profesional dalam menjalankan kerja-kerja mereka dan bukan menjadi 'budak suruhan' kepada mana-mana pihak,'' tambahnya.

sumber dari malaysiakini.com/bm
read more...

Pengundi muda dirayu 'balik kampung'

Dengan baki tiga hari lagi sebelum kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor berakhir, PKR merayu pengundi yang menyokong parti itu supaya pulang ke kampung halaman masing-masing pada Ahad ini untuk mengundi.
Kain-kain rentang didirikan mengingatkan pengundi bahwa PKR akan tewas jika pengundi yang bekerja di luar Hulu Selangor, khususnya golongan muda tidak pulang.

Menurut Ketua Penerangan Pemuda PKR, Lee Khai Loon (bawah, kanan), purata 10 peratus daripada 64,500 pengundi berdaftar di Hulu Selangor sekarang ini bekerja ataupun menghuni di tempat lain.

“Daripada sessi bermesra dengan penduduk tempatan, kita dapati daripada setiap 100 rumah yang dilawati, 10 keluarga mempunyai anak-anak yang bekerja ataupun menghuni di tempat lain,” katanya kepada pemberita di Kuala Kubu Bharu hari ini.

Justeru, katanya, PKR akan cuba merayu pengundi muda berkenaan supaya pulang melalui kempen di Facebook, laman mikro-blogging Twitter, mesej teks telefon dan video di internet.

“Kami juga menggesa rakan-rakan dan keluarga untuk memujuk mereka yang tinggal di luar Hulu Selangor untuk pulang Ahad ini. Gunakan pilihan raya kecil ini sebagai alasan untuk mengadakan perhimpunan keluarga,” katanya.

Pen
yelaras kempen DAP, Lau Weng San berkata pihaknya akan juga mengiklankan mesej berkenaan di akhbar arus perdana hujung miinggu ini untuk tujuan berkenaan.

Beliau meramalkan separuh daripada pengundi muda dari Hulu Selangor bekerja di kawasan seperti Kuala Lumpur, Rawang, Selayang dan Tanjung Malim.

“Pengundi muda adalah penyokong kita, jadi kita tidak boleh kehilangan satu pun undi mereka,” katanya.
Undi Orang Asli

Selain undi golongan muda, parti-parti politik juga cuba meraih undi 721 orang Asli.

Bagaimanapun menurut PKR, BN menggunakan taktik kotor memperalatkan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) untuk berkempen bagi pihak mereka.
Mereka mendakwa kenderaan JHEOA digunakan bagi membawa barangan kepada orang asli dan logo jabatan itu dilekatkan logo BN.

Antara barangan yang diberikan termasuk biji benih, makanan, alkohol, menganjur konsert rock dan juga wang tunai.

Namun menurut penduduk Kampung Orang Asli Serendah, Masah Anak Tan, dia masih tidak terpengaruh kerana BN melayan mereka tanpa sebarang hormat.

“Mereka datang membawa manggis dan kelapa tetapi setelah mengambil gambar, manggis-manggis itu dipunggah semula ke kenderaan mereka,” katanya.

Masah (kiri) juga m
engadu mengenai pondok polis sementara yang didirikan di kampung mereka yang dikatakannya sesuatu yang tidak pernah dilakukan.

Bagi Ramli Lugan, seorang Asli yang juga penyokong PKR, kehadiran polis itu dilihatnya sebagai satu bentuk ugutan.

Penduduk juga mendakwa JHEOA menggesa mereka menghalau para penyokong PKR yang kini menetap dengan beberapa keluarga orang Asli.

Exco kerajaan negeri Selangor bagi hal ehwal orang Asli, Elizabeth Wong menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencengahan Rasuah dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk bertindak terhadap salah laku itu.

sumber dari malaysiakini.com/bm
read more...

Pua: Harga kereta perisai melebihi harga pasaran

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendakwa kerajaan bercadang membeli 257 kereta perisai 8X8 (APC) jauh melebihi harga pasaran.

Menurut Pua, kerajaan akan membelanjakan RM31.1 juta bagi setiap kereta perisai itu meskipun terdapat model yang jauh lebih murah dan canggih di pasaran.

"Malah, model terbaik dalam kelas kereta perisai .. M1 Abrams M1A2... boleh didapati kurang daripada RM 20 juta," katanya.

Pua mengulas laporan Kementerian Pertahanan yang telah memeterai surat pernyataan hasrat bernilai RM8 billion dengan Deftech Sdn Bhd, bagi membeli APC berkenaan semasa pameran Defence Service Asia (DSA) 2010 di Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Deftech adalah anak syarikat milik penuh DRB Hicom, sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan kerajaan (GLC).

sumber dari malaysiakini.com/bm
read more...

Kapal selam: Najib disuruh bercuti

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak perlu mempertimbangkan cadangan supaya beliau bercuti bagi membolehkan siasatan perhubung pembelian kontroversial kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia dapat dijalankan.

Ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata selain itu, kerajaan juga harus menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat pembelian kapal selam dari Perancis itu.
"Perdana Menteri perlu bercuti sehingga kedua-dua siasatan itu lengkap agar ia dapat dijalankan tanpa halangan,” kata naib presiden PAS itu ketika lawatannya ke pameran dan sidang Defence Services Asia 2010 di Kuala Lumpur.

Tahun lalu, Suaram meminta tiga peguam hak asasi Perancis untuk menyiasat pembelian kapal selam Scorpene antara kerajaan Malaysian dengan Amaris, sebuah anak syarikat firma pertahanan Perancis, DCNS.

Dua hakim dengan Jabatan Pendakwaan Paris juga sedang menyiasat kemungkinan ada unsur rasuah dalam pembelian kedua-dua kapal selam kepada Malaysia itu.

sumber dari malaysiakini.com/bm
read more...

Cium tangan: Ketuanan Melayu atau tahu adat

Tindakan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan, yang mencium tangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin membuktikan bahawa beliau tahu adat resam, budaya dan budi bahasa masyarakat Melayu.
Muhyiddin yang mempertahankan tindakan itu sebaliknya membidas pembangkang kerana mendakwa perbuatan ketua penerangan MIC itu sebagai bukti ketuanan Melayu dengan MIC tunduk kepada Umno.

Katanya, tindakan itu helah pembangkang yang sanggup memutar belitkan fakta kerana sudah kehabisan modal.

"Tiada bahan, tiada modal lagi ke, perkara yang baik dijadikan tidak baik, sebab itu saya labelkan pembangkang ini raja putar alam," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor hari ini.

Muhyiddin berkata, jika hendak dibandingkan Kamalanathan dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim, ketua penerangan MIC itu jauh lebih baik daripada segi budi bahasa.

"Saya tak suruh dia cium tangan saya tetapi beliau berbuat begitu mungkin kerana dia sudah faham, bagi saya calon ini amat merendah diri, tidak meninggi hidung, hormati semua pemimpin.

"Kalau dia beri salam pada pihak lain, bertemu dengan orang lain sama ada cium tangan atau tidak, itu tiada apa, mungkin itu adat Melayu yang biasa. Adat lain mungkin tak biasa, bagi saya itu bukan kerana kehendak kita tetapi menjadi satu kebiasaan yang beliau hormati orang tua," katanya.

Muhyiddin berkata, beliau tidak melihat tindakan itu sebagai melutut dan menunduk kepada Umno kerana ia satu perbuatan merendah diri yang diamalkan oleh calon yang mempunyai nilai yang harus dihargai.

"Saya tidak langsung melihat itu sebagai satu perbuatan sampai tunduk dan melutut, macam sesetengah pembangkang kata begitu. Mungkin pembangkang tidak tahu bahasa atau kurang bahasa, jadi bila seseorang sudah ada bahasa begitu dia kata ini sebagai luar biasa.

"Di Malaysia perkara ini tidak luar biasa, saya lihat kadang-kadang orang Cina yang jumpa Perdana Menteri di Seri Perdana waktu Hari Raya salam dan mahu cium kadang-kadang mahu peluk pun ada, jadi apa benda yang hendak diguna sebagai isu," katanya.

Pada sidang media ini, Muhyiddin sekali lagi menggunakan peluang untuk menyerang peribadi Zaid secara tidak langsung.

Katanya, pembangkang kini pun sukar menepis dakwaan moral calon mereka yang tersebar luas menerusi media dan blog.

"Di peringkat awal-awal lagi Zaid sudah berhadapan dengan tamparan hebat, sehingga kini tiada satu pihak di kalangan pemimpin mereka yang menolak kenyataan yang dikeluarkan media, penulis blog, dia tiada cara hendak tolak," katanya.

Minggu lalu Zaid terpaksa membuat pengakuan bahawa beliau ketika berada dalam Umno adalah peminum arak tegar selepas diserang oleh beberapa bloger dan pemimpin BN.

Katanya, dakwaan beliau meminum arak adalah cerita lama.

"Itu cerita lama. Kalau mereka nak ungkit, ungkitlah. Saya dah minta maaf dengan Allah s.w.t.

"Apapun kelemahan saya, apapun ketidaksempurnaan, saya adalah seorang manusia dan mampu jadi wakil rakyat. Saya tidak hipokrit, apa yang silap, silaplah," kata Zaid lagi.

Serangan peribadi itu menyaksikan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, dua hari lalu mencabar Umno dan menteri-menteri kabinet beragama Islam untuk tampil membuat pengakuan bahawa mereka tidak pernah meminum alkohol, khususnya semasa muda.

Sasaran utama Lim
adalah Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Sehingga hari ini, belum ada seorang daripada mereka yang tampil membuat pengakuan bahawa mereka tidak pernah minum alkohol.

PAS pula menerusi setiausaha agungnya, Mustafa Ali mendakwa, semua perdana menteri Malaysia - kecuali Tun Abdullah Ahmad Badawi - terlibat dengan pengambilan minuman beralkohol.

sumber dari malaysiakini.com/bm
read more...

7,000 petugas PAS berkempen bantu Zaid

PAS telah menambah kekuatan jentera mereka kepada 7,000 orang untuk meningkatkan kempen membantu calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim yang tinggal tiga hari lagi.

Jumlah itu bertambah 5,000 orang berbanding dengan 2,000 petugas pada awal kempen dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.
Pengarah Operasi pilihan raya kecil PAS, Jamaludin Alias (foto) berkata, petugas itu kini ditempatkan di kesemua 47 unit peti undi di seluruh Hulu Selangor.

Menurut Jamaludin berkata, pihaknya menggiatkan pendekatan 'hati ke hati' dalam kempen yang cuma berbaki tiga hari.

Katanya, kaedah kunjungan rumah ke rumah itu lebih berkesan kali ini, berbanding dalam sewaktu pilihan raya umum.

Dalam kunjungan tersebut, tegasnya, jentera parti ditugaskan untuk menjelaskan kepentingan menghantar Zaid ke Dewan Rakyat.

"Kita tidak nafikan tiga DUN di Hulu Selangor dikuasai BN, tapi suara rakyat perlu ada di parlimen," katanya.

Jamaludin berkata, sokongan masyarakat majoriti Melayu di situ dijangka meningkat sehingga 40 peratus berbanding 27 hingga 28 peratus di Hulu Bernam, melalui kaedah tersebut.

Ditemui di markas induk PAS di Kampung Keliang, Hulu Selangor hari ini, Jamaludin bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa parti itu telah mengambil alih kempen daripada PKR.

Semangat setiakawan

Menurutnya, PAS sekadar membantu jentera PKR dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Jamaludin berkata, jentera PAS hanya membantu PKR kali ini dalam semangat setiakawan parti tersebut dalam Pakatan Rakyat.

"PKR mengetuai kempen sebab (calon parti) mereka yang bertanding. PKR mampu mengendalikan jentera mereka," katanya.

Sementara itu, beliau turut ditanya mengenai rungutan beberapa petugas PAS yang ditemui Malaysiakini sebelum itu.

Petugas parti berkenaan, yang enggan dinamakan, mendakwa wujudnya perpecahan di kalangan jentera PKR ekoran tindakan bendahari PKR Hulu Selangor, Dr Halili Rahmat keluar parti dan menyertai Umno Isnin lalu.

Jamaluddin enggan mengulas perkara itu, namun menjelaskan, bahawa bahan kempen pilihan raya tetap dibekalkan oleh PKR.

"Bahan kempen dari PKR termasuk risalah dan poster, dia (PKR) yang uruskan," katanya sambil menambah mereka hanya membantu menyediakan bahan kempen tambahan seperti akhbar Harakah.
read more...

Campurtangan politik: Penerbit ntv7 letak jawatan

Penerbit kanan ntv7 Joshua Wong mendakwa terdapat campur tangan melampau daripada pihak kerajaan dan juga penapisan yang keterlaluan.
Wong (kiri), yang menerbitkan rancangan popular bahasa Mandarin 'Editor's Time', berkata 'larangan yang tidak munasabah' dikenakan ke atas rancangannya yang sering-kali membincangkan isu sosio politik di negara ini.

“Pihak pengurusan tertinggi ntv7 bersikap tidak munasabah. Kebebasan disekat dan mereka yang engkar akan dihukum sehingga menjejaskan sikap profesionalisme kakitangan,” katanya pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, hari ini.

Wong berkata masalah bermula daripada aduan SMS yang dihantar oleh seorang pengadu ke Jabatan Perdana Menteri kepada ketuanya selepas episod pertama ranvcngan itu ke udara.

Episod itu adalah forum membabitkan pemimpin BN dan Pakatan Rakyat dengan dua penganalisis politik berhubung pencapaian kedua-dua gabungan itu sejak pilihan raya umum 2008.

Pengadu berkenaan mendakwa rancangan itu menghina polisi kerajaan BN dan perbincangan politik menjadi sesuatu yang “membahayakan”.

Wong juga mendakwa SMS itu berbaur perkauman dan ia memberi amaran bahawa masyarakat Cina “semakin biadap” dan “Melayu perlu berperang”.

Wong, yang telah menjadi wartawan lebih 16 tahun juga mendakwa SMS pengadu itu dihantar kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor kepada ketuannya.

Sehubungan itu, pengurusan tertinggi ntv7 menuntut Wong dan juga pengacara program berkenaan Lee Siad Huey untuk memberi penjelasan.

Sejak aduan itu, Wong berkata cadangannya selaku penerbit untuk membawa MP DAP, Tony Pua ke rancangan itu juga ditolak.

Malah, mereka diberi amaran bahawa rancangan itu akan ditamatkan, jika arahan tiidak dipatuhi.

Selain itu, Wong berkata cadangan bagi memaparkan perjalanan kempen pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor juga tidak mendapat restu.

“Akhirnya, semua perbincangan politik diarah dihentikan. Selain itu, kami dilarang menjemput tokoh pembangkang sebagai tetamu,” katanya.

Wong berkata lebih mendukacitakan bahawa ketua-ketuanya gagal mempertahankannya atau menyiasat aduan itu atau juga membuat laporan polis mengenai SMS itu yang mempunyai unsur-unsur hasutan.
read more...