Friday, April 23, 2010

Polis jamin keselamatan pengundi

Polis hari ini memberi jaminan keselamatan kepada 64,500 pengundi di Hulu Selangor yang akan keluar mengundi pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, Ahad ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata pengundi tidak perlu takut untuk keluar mengundi dan jangan mendengar sebarang khabar angin yang boleh mengeruhkan keadaan.

"Tiada apa yang hendak ditakutkan, sebab polis jamin keselamatan pengundi di P094 yang keluar mengundi, jangan dengar khabar angin, jangan ada pihak-pihak yang cuba mengeruhkan keadaan, timbulkan suasana tegang," katanya pada sidang akhbar di Kuala Kubu Baru di Hulu Selangor.

Khalid berkata polis menggerakkan 1,000 anggotanya bagi mengawal lalu lintas dan menjaga keamanan pada hari pengundian.

Beliau berkata polis juga memantau beberapa individu yang mungkin akan menimbulkan kekecohan pada hari mengundi.

Calon Barisan Nasional (BN), P Kamalanathan ditentang Datuk Zaid Ibrahim dalam pilihan raya kecil ini.

"Kita sudah beri amaran kepada individu ini supaya tidak membuat apa-apa perkara yang menyusahkan pengundi, orang yang timbulkan kekecohan kita akan pantau," katanya.

Khalid berkata polis juga memantau semua masjid di kawasan Hulu Selangor ini yang dijadikan tempat untuk berkempen dalam pilihan raya kecil ini dan setakat ini tiada sebarang laporan polis diterima.

Mengenai demonstrasi yang dikatakan akan diadakan di Masjid Kuala Kubu Baru hari ini, Khalid berkata sehingga saat ini tiada sebarang demonstrasi yang berlaku.

"Tiada demonstrasi seperti yang dirancang, tetapi kita letakkan anggota kita berjaga-jaga di kawasan masjid itu," katanya.

Khalid juga berkata polis telah menahan lima lelaki, dua daripadanya pelajar institusi pengajian tinggi awam yang memiliki dan mengedar risalah politik serta cakera padat video (VCD) tanpa lesen yang mengandungi unsur-unsur hasutan.

"Mereka ditahan di Batang Kali, kita dapati ada bahan-bahan cetak berkenaan di dalam kenderaan mereka, bagaimanapun mereka dilepaskan selepas diambil keterangan," katanya.

Khalid berkata polis sedang menyiasat sama ada mereka dibayar untuk mengedar risalah-risalah politik tersebut.

"Kita sudah ingatkan supaya penuntut institusi pengajian tinggi tidak terlibat dengan sebarang kempen pilihan raya, tetapi mereka ini degil, kita juga sudah maklumkan kepada pihak universiti mereka," katanya.

Dalam pada itu, sehingga kini, polis menerima 134 laporan polis berhubung kesalahan pilihan raya dan telah membuka sebanyak 23 kertas siasatan.

sumber dari malaysiakini.com/bm
Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Polis jamin keselamatan pengundi"

Post a Comment